Mungkin kerana bebas melontarkan
pandangan dalam blog sendiri tanpa kawalan dan sanggahan, acapkali saya
terbawa-bawa berbuat demikian ketika berhadapan dengan objek manusia hidup di
depan mata yang tentunya berbeza tanggapan dalam ‘meng-erti - kan’ (mengertikan) sesuatu.
Ketika disua dengan pendapat yang
tiada cacat celanya tetapi tidak tercapaikan dalam alam realiti, sehabis marah
saya cuma mampu mengungkapkan, “ Itu benar, tetapi cuma ‘on paper’ kerana
realitinya tidak sedemikian.”
Semalam, di warung belakang
pejabat, saya berhadapan dengan dua orang rakan seorganisasi. Seorang, yang
saya kenal sangat-sangat ‘anutan’ politiknya - melampiaskan pandangan berbentuk
‘simple arithmatic’ yang dia sudah ada jawapannya. Dia cuma ‘bersandiwara’ untuk
mengenakan pihak yang tidak disenanginya. Dan, seorang lagi yang juga saya tahu
pihak yang disokongnya - memaksa diri memberi pendapat dan saranan yang dipercayainya
dapat menyelesaikan segala masalah di atas muka bumi ini dengan mudah jika berbuat
sesuatu mengikut ‘sepatutnya’ (ideal) . Sedangkan dia juga sedia maklum bahawa
pihak yang didokongnya tidak berbuat sedemikian. Isu yang diusik adalah
mengenai ‘ Kelemahan Melayu Bermain Politik’.
Maka, disebutlah betapa Orang
Melayu sepatutnya tiada masalah untuk bersatu – mereka, satu bangsa dan satu
agama. Berbanding dengan etnik Cina – berbagai agama (Buddha,Tao,Kristian,Free
Thinker) dan etnik-etnik berbeza yang dikenali menguasai sesuatu bidang secara
mutlak. Bidang-bidang yang dikuasai oleh sesutatu etnik ditembok kukuh umpama
tembok besar Negeri Cina yang tidak dibuka kepada etnik lain walaupun mereka
sebangsa.
Maka, disebutlah bahawa Orang
Melayu sepatutnya bersatu dan seia sekata dalam sekurang-kurangnya empat perkara
teras, iaitu; agama, bangsa, pendidikkan dan bahasa.
Maka, disebut juga bahawa
golongan rakyat jelata Orang Melayu yang berbeza fahaman politik pada amnya
tiada masalah. Contohnya, mereka boleh bersama di masjid/surau, majlis
perkahwinan, kenduri- kendera, persatuan ibu bapa sekolah, pegawai masjid/surau
dan lain-lain lagi.
Maka, antara yang disebut juga bahawa
kononnya ketidak-matangan Orang Melayu bermain politik adalah kerana dipermainkan
oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu. Pemimpin-peminpin politiklah yang
mencetuskan suasana ‘huru-hara’ di kalangan sesama Orang Melayu. Merekalah yang
menjahanamkan ‘keidealan’ sehingga tidak dapat diterjemahkan dalam kehidupan sebenar.
Maka, yang disebut juga bahawa
kononnya individu atau pihak yang ada autoriti dalam memandu masyarakat kearah
arah tuju sepatutnya sedang menderita sakit misteri gara-gara menjalani rawatan pemandulan
atau mengkasi diri yang jelas menyalahi mana-mana hukum di dunia ini. Ini
menjadikan golongan itu tidak produktif, tidak berguna, mata mereka buta,
telinga mereka pekak, menjadi terlalu penakut dan tidak ada prinsip. Kononnya, golongan ini menyantuni satu pihak dan bersikap kasar terhadap pihak yang lain. Lalu,mereka tidak dihormati. Lalu, mereka diperlekeh.
Ironinya, kami bertiga yang juga
berlainan fahaman politik sebulat suara merumuskan bahawa segala tuduhan ,
pendapat dan cadangan mengenai isu ‘Kelemahan Melayu Bermain Politik’ adalah
ungkapan-ungkapan klise yang tidak mendatangkan sebarang faedah untuk
dibincangkan, dan apatah lagi didebatkan dalam konteks senario Orang Melayu
hari ini.
Bahawa, kerosakan sedang berlaku.
Justeru itu, gejala tidak sepakat dalam sekurang-kurangnya empat (4) perkara
teras (agama, bangsa, pendidikkan dan bahasa) yang sepatutnya kalis mainan
politik tidak kelihatan balam-balam kesudahannya dalam masa terdekat ini.
Sayugia, kami bertiga ialah
sebaik-baik contoh di kalangan majoriti rakyat marhaen @ jelata @ biasa yang
berlainan fahaman politik tetapi boleh duduk semeja. Tiada masalah untuk belanja
minum seseorang yang berlainan khemah politik. Tiada masalah kerana berbeza platform.
Namun demikian, keharmonian ini
boleh hilang dengan sekelip mata apabila dihasut atau dikacau ganggu oleh
pemimpin atau orang politik. Ada orang
berkata, “Dunia politik selamanya 20 tahun di belakang dunia pemikiran.”
Oh, Melayu ku!
salam,
BalasPadamTak kisah apapun ideologi politik kita,terasnya tetap islam dan jangan sesekali memburukkan negara kita dimata luar..ibarat menceritakan masaalah rumahtangga kita kepada orang luar..semuga Allah pelihara Islam dan memelihara bangsa melayu kuat dlm islam
akak roosni,
PadamWaalaikomsalam,
Itulah yang idealnya.Bagaimanapun, realitinya amat sukar kerana pemahaman yang berbeza. Di luar sana, ilmuan dari institusi agama yang sama pun berbeza pemahaman dan pendekatan mereka.
Benar, jangan kita berbalah sesama sendiri - Menang jadi arang, kalah jadi abu.
Idealnya, " Yang kusut diselesaikan, yang keruh dijernihkan."
Ujang Kutik,
BalasPadamKadang tu untuk menjadi 'cool' kita kena lihat '' the bigger picture '' untuk memahami sesuatu isu itu.
Naluri manusia apabila sudah kaya kita akan tergilakan 'power' pulak..hehe
Sdr theolrascal,
BalasPadamKekayaan adalah kuasa.
He..he..kita senang,boleh senangkan orang lain,mudah kuasai orang lain. Kaya & kuasa satu pakej.
Mungkin terkecuali pada profession pemimpin.Jarang pemimpin yang tentunya kaya raya secara sukarela mengundur diri dan beri laluan kepada orang lain. Ini sebenarnya misteri yg boleh dapat dirungkai sebab musababnya dengan jelas.
Mungkin pendapat tuan ada kaitannya.