Peluang untuk merebut malam Lailatulqadar tahun ini (1435H) cuma berbaki 6 malam sahaja lagi. Salah satu di antara elemen penting mendapatkan malam yang diburu itu ialah mendirikan malam khususnya mendirikan solat tahajud serta lain-lain ibadah.
Kita tidak perlu malu untuk mengaku bahawa sebilangan besar di antara kita telah menganggap bahawa bangun malam dan mendirikan solat tahajjud serta lain-lain amalan adalah perkara yang paling sukar dilakukan. Bahkan ada yang telah mengangkat bendera putih dan mengaku kalah dengan menganggap jati diri mereka tidak ada kekuatan langsung untuk mendirikan solat tahajjud. Semoga kita bukannya dari kalangan yang mengaku kalah itu.
Andainya kita terus selesa dengan kelemahan diri dalam tempoh 6 malam lagi, tiada syak lagi nama kita adalah di antara nama yang dipadamkan untuk mendapat nikmat malam seribu bulan itu dengan andaian kita juga tidur dengan lena sepanjang malam sebelum 20 Ramadhan . Kita bolehlah menakrif diri sendiri sebagai orang yang rugi.
Kebetulan saya memiliki sebuah buku bertajuk ' Akibat Buruk Apabila Seseorang Meremehkan Solat Tahajjud '. Di antara banyak ayat-ayat Al-Quran yang dikemukakan oleh pengarang buku itu untuk menunjukkan pentingnya mendirikan solat malam ialah Surah al-Isra':79. Pengarang buku itu menganggap golongan yang mengabaikan solat tahajjud sebagai ' meremehkan janji tempat terpuji '. Surah al-Isra':79 bermaksud lebih kurang;
" Dan pada sebahagian malam hari, solat Tahajjudlah kamu, sebagai suatu ibadah tambahan bagi mu; mudah-mudahan Tuhan mu mengangkat kamu ke tempat terpuji." (Surah al-Isra':79).
Saya menasihatkan diri sendiri dan mengajak anda merebut peluang yang (mungkin) masih ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."