Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 23 November 2012

ULAR MALANG


Seawal pagi 14/11/12, penduduk di Jalan 12 taman perumahan saya digemparkan oleh 'tetamu' yang tidak diundang. Ular sawa batik sepanjang 10 kaki!
 
Ceritanya bermula apabila seorang jiran yang hendak memasuki keretanya kerana hendak pergi ke tempat kerja. Dia bergegas semula masuk ke dalam rumah setelah berilusi ‘seolah-olah’ melangkah sesuatu apabila hendak memasuki kereta. Di antara percaya dengan tidak dia keliru samada yang dilangkahinya adalah seekor reptilia yang melengkar berhampiran keretanya.

Lantas dia menelefon jiran di depan rumahnya. Jiran yang amat prihatin segera datang ke rumah jiran itu. Sayangnya, jiran tersebut cuma dapat melihat ular sedang meloloskan diri ke dalam sebuah lubang menghala ke dalam kawasan rumah mangsa. Maka, benarlah yang dilihatnya adalah seekor ular sawa batik yang sederhana besar.

Kakitangan Jabatan Pertahanan Awam yang datang ke lokasi setelah dihubungi tidak boleh berbuat apa-apa kerana ular tersebut telah masuk ke dalam lubang. Mereka meninggalkan taman perumahan kami. Masalah masih belum selesai.

Saya menutup lubang tempat ular tersebut menyembunyikan diri dengan beberapa ketul batu dengan tujuan supaya kami akan dapat mengesan ular itu telah keluar dari lubang apabila ketul-ketul batu itu beralih dari tempat asal.

Jiran yang rumahnya dimasukki ular mendapatkan seorang pekerja kontrak keturunan pendatang Indonesia yang bekerja di sekitar kawasan perumahan kami untuk menyimin lubang kecil yang dimasukki ular. Pada mulanya orang Indonesia itu bersetuju. Namun demikian, dia datang semula dan memberitahu tidak sampai hati membunuh ular itu dengan cara sedemikian – menutup ruang udara dan melemaskan. Masalah masih belum selesai. Benarlah, ada ketikanya wang bukan segala-galanya.

Kami penduduk Jalan 12 terus memantau ular yang bersembunyi di dalam lubang.

Kebetulan pada sebelah malamnya, lebih kurang pukul 9.15 malam, saya melihat dua ekor kucing jiran sedang ‘mengagah-agah’ atau sedang bermain dengan sesuatu. Saya yang ‘alert’ menyuluh ke tempat itu. Saya tergamam apabila melihat seekor ular sebesar lengan orang dewasa menyusur di dalam longkang. Anak lelaki sulung saya pula sibuk menghalau dua ekor kucing supaya jauh dari ular itu. Saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam melalui panggilan ‘999’ dan juga memaklumkan kepada jiran-jiran yang lain.

Syabas Jabatan Pertahanan Awam! Saya puji kerana mereka di Jabatan Pertahanan Awam cepat, cekap dan komited mengambil tindakan. Seekor ular sawa batik yang cantik dan masih belum mengapa-apakan sesiapa ditewaskan. Seekor ular malang yang cantik dapat ditangkap hidup-hidup dan dimasukkan ke dalam guni.

Ular malang yang sangat cantik itu dimasukkan ke dalam ambulan oleh kakitangan Jabatan Pertahanan Awam berlepas meninggalkan kami. Dia berada di tempat yang salah pada masa yang tidak sesuai. Nasibnya tidak diketahui selepas itu. 

6 ulasan:

  1. akhir nya olau sawo tu akan berakhir di dalam kuali,,,

    BalasPadam
  2. terfikirlah kita bagaimana ular itu boleh bergerak dengan pantas?

    IM pernah belajar bagaimana cacing bergerak semasa studi biologi di sekolah raja chulan dulu. agaknya, teori itu sama saja...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,sangat

      Ini di antara kebesaran Pencipta, Allah. Warna pada kulit ular ini umpama satu lukisan yang sangat teliti, berseni, cantik. Allah Maha Besar.

      Padam
  3. Sdr Pak Oncu,

    Kalau nasibnya baik, dia akan ditempatkan di zoo.

    BalasPadam
  4. Saudara Ujang kutik,

    Saya puji sikap pekerja kontrak Indonesia itu yang memiliki hati nurani yang mulia, tidak sanggup melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan ular atau haiwan mati. Tidak seperti sebahagian kecil manusia yang sanggup berbunuhan sesama manusia, termasuk juga menyebabkan kematian anak kecil yang tidak berdaya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Benarlah, berhati mulia itu bukan milik sesiapa secara mutlak.
      Kadang-kadang kita tertipu dengan penampilan dan sejarah silam.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."