Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label prihatin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label prihatin. Papar semua catatan

Ahad, 21 Oktober 2012

ANJING: KITA KEJAM DENGAN HAIWAN INI


Tanggapan dan layanan sebilangan Orang Melayu terhadap anjing sangat kejam. “ Melepaskan anjing tersepit.” Ada di kalangan Orang Melayu dengan sewenang-wenangnya dan tanpa rasa bersalah akan membaling dengan batu terhadap anjing-anjing lapar yang menyelongkar tong sampah di hadapan rumah mereka. Sang najis berat!
Seorang Melayu besar kemungkinan akan membiarkan seekor anak anjing yang terjatuh ke dalam longkan mati kelemasan tanpa pertolongan kerana kenajisan haiwan itu . Begitulah juga nasib seekor anjing yang cedera di tengah jalan raya kerana dilanggar oleh kenderaan. Akan dibiarkan mengerang kesakitan.
 
 
Perumpamaan ‘Melepaskan anjing tersepit’ tidak perlu dikhadam maananya dengan mengkhususkan contoh kepada anjing sahaja. Harimau juga besar kemungkinan akan membaham orang yang menolongnya. Manusia jahat seperti perompak atau perogol juga besar kemungkinan akan memudaratkan orang yang menolong.
Sehubungan ini hati saya sangat tersentuh membaca kisah seorang lelaki dan isterinya yang rumah mereka cuma sebuah kabin memelihara dan menyelamatkan 400 ekor anjing dan 200 ekor kucing. Lelaki itu bekas seorang kontraktor. Apabila ditanya oleh wartawan mengenai kenajisan anjing, lelaki yang pernah dianggap gila itu menjawab, “ Pada orang mungkin kami suami isteri dilihat kotor kerana hidup seharian bergelumang dengan anjing. Namun secara peribadi saya tahu garis pemisah antara kotor dan bersihnya dalam hidup. Anda jangan terkejut kerana saya tidur dengan anjing. Pada saya itu tidak kotor. Saya melihat hidup bersama anjing bukan satu masalah kerana dalam Islam sudah disediakan kaedah serta tatacara tertentu untuk bersuci.”

Tidak dinafikan bahawa akrabnya lelaki itu dengan anjing sangat keterlaluan dan memerlukan pandangan seorang ustaz secara khusus.
Bagaimanapun, selain dari persepsi Orang Melayu terhadap anjing sangat tidak berlaku adil, banyak juga ungkapan-ungkapan yang menyantuni kewujudan haiwan itu oleh para pemikir dan ahli falsafah terutamanya di kalangan orang barat. Diantaranya; “Anjing satu-satunya makhluk di dunia yang mencintai anda lebih dari dirinya sendiri”, “ Apabila anda mengambil anjing kelaparan, kemudian memeliharanya dengan baik, anjing-anjing itu tidak akan menggigit anda. Ini adalah perbezaan anjing dengan manusia” dan “ Sejarah lebih banyak memberi contoh kesetiaan anjing daripada manusia”.    

Saya sangat percaya bahawa ramai Orang Melayu termasuk saya sendiri kurang jelas mengenai kaedah dan tatacara fekah yang praktikal apabila berurusan dengan anjing yang digolongkan sebagai najis berat. Saya percaya dengan pengetahuan kaedah fekah yang betul dan tepat akan memberanikan diri kita membantu anjing-anjing malang yang terbiar dan terabai tanpa was-was.
Sebagai seorang Islam kita mengetahui kisah seorang pelacur yang memberi minum seekor anjing yang terlalu dahaga. Haiwan, termasuk anjing juga mengalami kesakitan, kelaparan dan dahaga. Bantulah jika ada kemampuan, kesempatan dan peluang!

Rabu, 3 Oktober 2012

KLINIK KESIHATAN CHERAS BARU: TIADA APA YANG SAYA 'KOMPLEN'..


Semalam, saya ke Klinik Kesihatan Cheras Baru, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kedudukkan geografi klinik kerajaan ini bersempadan dengan Ampang, di Negeri Selangor. Klinik ini kira-kira 2 kilometer dari rumah saya.

Klinik yang sekelilingnya kawasan perumahan Orang Melayu dan Cina pada nisbah 50-50 itu dikunjungi oleh ramai pesakit. Ada 'terlihatkan' keharmonian antara kaum. Dilihat seorang warga emas keturunan Cina berbual dengan seorang ibu muda Melayu mengenai keluarga masing-masing. Di pintu masuk klinik pula seorang lelaki Cina penghujung 40-an, membuka daun pintu untuk memberi laluan kepada seorang pesakit Melayu yang ditolak dengan menaiki kerusi roda. 

Urusan saya di klinik ini selesai dalam tempoh hampir dua jam. Agak lama. Saya ada mencuri dengar perbualan seorang lelaki Cina dengan seorang lelaki India di tempat duduk di belakang saya. Kata lelaki India di usia 40-an," Seeloknya pihak klinik memberi keutamaan kepada pesakit 50 tahun ke atas dalam mendapatkan giliran rawatan . Contohnya , giliran dibuat secara 3 orang pesakit 50 tahun ke atas, seorang pesakit di bawah 50 tahun diberikan rawatan." Bernas juga idea lelaki India yang prihatin itu.

Sungguhpun rawatan yang saya terima agak lambat, hampir 2 jam, tiada apa yang hendak saya rungutkan kerana memahami bilangan pesakit yang ramai (perlukah saya menggunakan perkataan 'banyak' ?). Saya tidak merasa resah dan tertekan sepanjang tempoh masa menunggu. Pesakit disediakan ruangan menunggu/tempat duduk yang selesa, bersih, bilangan kerusi yang mencukupi, ada television, bahan bacaan seadanya, pendingin udara dan kipas. Nombor giliran dipanggil dengan menggunakan sistem panggilan elektronik. Layanan oleh warga klinik ini juga baik.

Saya tidak mengetahui samada keadaan kondusif di klinik kerajaan seperti di Klinik Kesihatan Cheras Baru ini adalah gambaran sebenar di klinik-klinik kerajaan yang lain. Saya sebutkan perkara ini kerana berurusan dengan klinik-klinik kerajaan suatu ketika dahulu adalah suatu 'taboo' kepada pesakit - keadaan klinik yang tidak selesa, panas kerana tiada/kurang kipas angin , kurang tempat duduk, tiada kemudahan menunggu giliran dengan sistem panggilan elektronik dan yang paling menakutkan ialah layanan staf klinik dari atendan, jururawat hingga ke doktor ketika itu yang kebanyakkannya kasar. 

Saya tidak bermaksud 'pendedahan' berikutnya adalah umpama sebab nila setitik rusak susu sebelenga. Saya cuma ingin mengajak pembaca bersikap berlapang dada dan berlaku adil.

Semasa menunggu saya pergi ke tandas klinik untuk membuang air besar. Hajat saya terbantut kerana mangkuk tandas ada takungan najis yang menjijikkan. Saya cuba pam tetapi air najis masih bertakung dalam mangkuk tandas. Saya membatalkan hajat tersebut dan kembali ke tempat duduk. Bagaimanapun, ' saya tidak boleh tahan ' dan terpaksa kembali semula ke tandas untuk melepaskan hajat.  

Saya percaya 'titik hitam' itu bukannya identiti pihak pengurusan klinik kerana secara keseluruhannya tandas adalah bersih. Saya juga percaya, kerosakkan tersebut baru berlaku dan tidak disedari oleh pihak pengurusan klinik. Mungkin, kerosakkan tersebut telah diperbaiki jika kita datang pada hari ini.

Tiada apa yang hendak saya 'komplen' tentang klinik ini.......
  

  
    


Selasa, 10 Julai 2012

mungkin perkara remeh temeh

SEBENTAR tadi, sebelum menunaikan solat Isyak, seorang jumaah berdiri di hadapan mimbar. Dengan nada sedih, dia merayu supaya jumaah yang hadir mengadakan solat hajat selepas selesai solat Isyak untuk mendoakan keselamatan keluarga terdekatnya yang masih koma di hospital kerana kemalangan jalan raya di Karak.

Alhamdulillah, sebanyak tiga saf jumaah dengan bilangan lebih kurang 50 orang untuk satu saf  telah menunaikan solat hajat berimamkan penceramah  kuliah maghrib. Selebihnya dua saf lagi bergegas keluar dari saf samada menunaikan solat sunat ba'diah di bahagian belakang dewan solat atau meninggalkan masjid.    

Seorang jumaah mualaf sangat kecewa dengan jumaah yang tidak bersimpati dengan mangsa kemalangan. Rungutnya selepas selesai menunaikan solat hajat, " Olang minta tolong sedikit pun talak boleh. Nanti lu kena, balu lu tahu. Sikit punya hal pun kila sangat."

Saya cuba mencari mualaf yang prihatin dengan 'perkara remeh temeh' itu di seluruh ruang masjid. Saya tidak menemuinya. Saya keliru.  Atau, sayakah yang terlalu banyak berfikir 'perkara remeh temeh' sehingga terkeliru?






Selasa, 19 Jun 2012

etnik rohingya : peminta sedekah professional

Bagaimana pandangan anda tentang seorang peminta sedekah?
Bajunya koyak rabak. Kakinya capik. Rambutnya panjang dan tidak terurus. Badannya berbau busuk. Air mukanya berserabut.Mukanya sentiasa ditundukkan ke bawah meraih belas kasihan.

Sebaik sahaja anda selesai makan di sebuah restoran, dia akan menerpa ke meja anda dan menghabiskan sisa-sisa makanan dengan lahapnya.

Atau, dia lebih professional sedikit. Dia yang berketayap putih datang ke meja anda di sebuah restoran dengan penuh tertib untuk mengutip derma bagi membina rumah anak yatim di Patani, Thailand, membantu pejuang-pejuang jihad di Afghanistan, membina masjid di Kemboja, membina semula rumah-rumah mangsa tsunami di Acheh, atau membina madrasah di Bosnia atau Chechen.

Terpulanglah di atas tahap keyakinan dan naluri kedermawanan anda. Anda mungkin menghulurkan RM1 atau RM2. Atau anda tidak memberi apa-apa dengan cara berhemah. Anda juga memikirkan bahawa mungkin ada di kalangan pengutip derma tersebut ‘genuine’.

Pandangan anda mengenai peminta sedekah sebahagiannya tidak tepat. Atau, lebih tepat lagi, tidak tepat kepada sebilangan peminta sedekah di sekitar Ampang, Selangor.

Atau setepatnya, kepada peminta sedekah professional etnik Rohingya di sekitar Ampang.

Peminta sedekah etnik Rohingya di sekitar Ampang terdiri dari kalangan isteri, wanita muda dan kanak-kanak perempuan dan lelaki. Lelaki dewasa dan lelaki muda etnik Rohingya boleh dikatakan tidak ada yang menjadi peminta sedekah. Mereka menumpukan kepada bidang kerja yang lebih mencabar iaitu mengumpul barang-barang buangan khususnya besi buruk untuk dijual.

Peminta sedekah etnik Rohingya di Ampang berpakaian kemas, cantik dan bersih. Wanita dan anak perempuan memakai tudung dan anak-anak lelaki pula berketayap putih. Mereka (kebanyakkannya dari satu keluarga) ‘pergi ke tempat kerja’ ( di antaranya Ampang Point dan masjid-masjid di sekitar Ampang khususnya pada hari Jumaat) dengan menaiki bas. Mereka akan menaiki teksi ketika pulang ke rumah jika pendapatan pada hari berkenaan lumayan.    

Mereka sentiasa dalam keadaan santai, bersahaja dan saling bergurau sesama sendiri, seperti tiada apa yang hendak dirisaukan. Mereka cuma mahukan wang tunai. Jangan terperanjat jika mereka menolak pelawaan anda untuk makan bersama-sama di restoran sekitar mereka ‘mencari makan’.

Jangan juga terperanjat jika anda sekali sekala terserempak dengan
mereka sedang makan di dalam restoran ‘fast food’ atau restoran mewah
 yang anda sendiri tidak pernah atau jarang-jarang menjejakkan kaki.

Itulah serba sedikit gambaran ‘peminta sedekah professional’ etnik Rohingya di sekitar Ampang. Mereka menjadi diri sebenar mereka. Tiada apa yang hendak ‘dipropkan’ supaya kelihatan seperti peminta sedekah konvensional. Mereka mengganggap meminta sedekah sebagai satu pekerjaan dan tidak perlu merasa malu atau hina. 


Lagi pun mereka arif sangat bahawa seluruh penduduk Ampang mengetahui status bertauliah mereka sebagai pelarian politik, tiada bernegara, dan tiada apa-apa.

Umpama seekor anak kucing buangan yang kelaparan, yang mendongakkan mukanya sambil merayu sedikit makanan kepada kita yang kekenyangan di sebuah restoran, sakit sangatkah mata kita yang memandang berbanding beratnya 'dunia yang mereka pikul' untuk melangsungkan survival hidup keluarga di bumi saudara seagama mereka ini? Juga, patutkah saya menamakan mereka, saudara seagama , ‘Peminta Sedekah Professional’ dalam catatan ini?

Rabu, 13 Jun 2012

suatu petang beberapa tahun yang lalu

Pada suatu petang selepas waktu pejabat yang telah berlalu terlalu lama, tiga atau empat tahun kebelakangan, dan ketika dalam perjalanan ke tempat letak kereta yang melalui warung-warung di belakang pejabat,saya terkerling seorang wanita muda keturunan Cina, yang duduk mencangkung dan sedang menyantuni akan sekumpulan kucing-kucing buangan yang terbiar dan diabai. Dia membelai haiwan-haiwan malang tersebut dengan penuh kasih sayang – jari-jari halus dan lentiknya menggosok-gosok bahagian kepala dan leher haiwan-haiwan itu sambil berkata dalam berbisik, “I love you all”, berulang-ulang sambil menaburkan makanan kucing  berjenama mahal di atas sehelai kertas yang bersih.
Akhirnya, dia menyedari kehadiran saya.Dia tersenyum.Manis senyumannya.Saya membalas senyumnya sambil menegakkan ibu jari, “Syabas!” , dan meninggalkan wanita muda keturunan Cina itu larut bersama alamnya.    
Kuala Lumpurrrrrrrrr………..masih ada lagi manusia seperti ini di perut kota mu yang dikatakan tidak memperdulikan sesiapa pun!!!!  

Isnin, 19 Mac 2012

suatu ketika

Biarkan,
anak-anak yang lapar itu,
mengutip,
butir-butir nasi dari singki,
 yang berlabuh di dasar longkang,
belakang rumah kita.

Biarkan,
biarkan,
biarkan,
jangan dibunuh anak-anak itu,
pada pesta besar bunuhan makhluk perosak,
di PBT kita bulan ini.

Suatu ketika,   
kita juga pernah mengutip,
bait-bait cerca dan amarah,
saudara dan taulan,
untuk sebutir dua  nasi,
anak-anak kita yang lapar.

Rabu, 29 Februari 2012

teman menangis


Kata pujangga, " Kita mungkin akan melupakan orang yang pernah tertawa dengan kita, tetapi tidak mungkin melupakan orang yang menangis dengan kita."

Spesis hamba-hamba Allah ini pada kebiasaannya menghuni banglo-banglo mewah atau kondominium-kondominium di kawasan perumahan elit. Atau sekurang-kurangnya rumah teres RM350,000 ke atas.

Tuan-tuan mereka biasanya YB Menteri, ahli korporat, doktor pakar atau sekurang-kurangnya pegawai kerajaan Gred 54. Sedikit golongan sedang-sedang - pegawai kerajaan gred 44, guru, eksekutif rendah swasta atau pegawai polis. Amat sedikit di kalangan kerani atau juruteknik. Hampir tiada di kalangan buruh kasar yang mendiami kuarters satu bilik atau rumah setinggan.

Sekali haiwan kesayangan tersebut batuk, tuan-tuan mereka akan segera membawa ke klinik veterinar. Mungkin dengan menaiki 'merc', BMW atau paling kurang versi Honda. Sekali rawatan mencecah ratusan RM.      

Bagaimanapun, catur kehidupan berbagai versinya. Seorang gadis jelita mungkin tidak menemui jodoh sepanjang hidupnya. Seorang graduan mungkin bertuankan taukeh yang tidak tamat darjah enam.

Begitulah nasib hamba-hamba Allah ini - terkurung menunggu kedatangan bakal tuan-tuan mereka di sebuah kedai haiwan. Andainya bernasib baik, adalah tuan-tuan yang akan datang menjemput. Andai sebaliknya, terkurunglah hamba-hamba Allah itu di situ selama-lamanya - terkurung dan diperdagangkan.

Kehidupan ini umpama air pasang surut, tiada siapa yang dapat menahannya. Ini 'real kehidupan', bukan suatu kekejaman. Atau, kejam itu teramat subjektif takrif dan jurainya.

  

Sabtu, 21 Januari 2012

menjejak tetamu

Sebenarnya, saya telah lama perasan akan kehadiran  tetamu tetap ini . Beliau menjenguk setiap entri dalam blog saya yang seadanya ini. Sungguhpun beliau tidak pernah mengulas/komen, saya tahu kehadirannya melalui laporan jejak-jejak pengunjung. Laporan tersebut menunjukkan beliau berada di Johor Bharu. 

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada tetamu dari Johor Bharu ini kerana sudi membaca catatan demi catatan dalam blog saya.

Selain itu, saya juga sangat menghargai pengunjung-pengunjung lain, khususnya rakan-rakan  maya yang menjadikan blog sebagai penghubung silaturahim di antara kita. 

Terima kasih. 

Rabu, 14 Disember 2011

prihatin

Ada ungkapan yang berbunyi, " Kesalahan orang lain ada di mata kita, kesalahan diri sendiri ada di dada kita."

Semalam, 13 Disember 2011, saya agak lewat ke pejabat. Kad perakam waktu kehadiran saya dicetak dengan warna merah.

Ketika berhenti di lampu isyarat dalam perjalanan ke pejabat, saya dan beberapa orang pemandu lain dikejutkan oleh bunyi dentuman yang agak kuat dari arah seberang jalan. Jelas, sebuah kereta perodua kembara yang dipandu oleh seorang wanita,  awal 30-an, melanggar sebuah kereta lain yang diletakkan dalam kotak meletak kereta di belakang keretanya. Dia lalai ketika mengundurkan keretanya.  

Bonet hadapan kereta yang dilanggar kemek dan melengkong ke atas. Pemandu kereta yang melanggar langsung tidak turun melihat kereta yang tiada pemandu itu. Malah, dia terus memandu dengan laju dan meninggalkan lokasi kejadian.

Kejadian itu berlaku dengan pantas. Inilah mungkin satu-satunya alasan yang boleh digunakan oleh pemandu lain yang menyaksikan kejadian itu dari dipersalahkan kerana tidak prihatin dengan nasib pemandu kereta yang dilanggar.

Bagaimanapun, secara peribadi saya merasa sangat bersalah. Kenapa? Saya ada mencatatkan nombor kenderaan kereta yang melanggar tetapi tidak mengambil tindakan susulan.. 

Ketika menceritakan kejadian tersebut dengan kawan-kawan di pejabat, saya dipersalahkan,
" Sepatutnya kamu berhenti sekejap, pergi ke seberang jalan, tulis nombor kereta yang melanggar itu di sekeping kertas dan letakkan kertas itu di skrin hadapan kereta mangsa."

Kata-kata kawan saya itu ada kebenarannya. Saya tidak peka untuk mengambil tindakan dengan pantas dan betul.

Saya juga bertambah-tambah lagi rasa bersalah kerana membenarkan Yunus Romeo, yang kuat menikam nombor ekor turut sama membelek-belek nombor pendaftaran kereta yang saya catat pada sekeping kertas itu.          

Selasa, 8 November 2011

lain orang lain ragamnya

DUA tiga hari lepas saya terbaca mengenai seorang pelakon Hindustan keturunan 'Khan' yang amat prihatin tentang nasib anjing-anjing terbiar.Beliau sanggup menghabiskan masa kualitinya bersama sekumpulan anjing-anjing terbiar - melihat gelagat , menyantuni dan memberi makan anjing-anjing malang tersebut.

Secara kebetulan, hari ini saya singgah sebentar untuk solat Asar, lebih kurang jam 5.30 petang,  di salah sebuah masjid kecil dan struktur bangunannya yang serba kekurangan di Shah Alam, Selangor. Sebelum solat saya ke tandas untuk membuang air besar. Saya mendapat ilmu dan petua yang amat berguna di dalam salah satu tandas di masjid ini.  Ingatan saya, "Sebelum buang air besar/kecil, pastikan paip air berfungsi terlebih dahulu, bukannya setelah buang air besar/kecil baru hendak buka paip air." Tolong jangan bayangkan bagaimanakah saya berpindah ke tandas sebelah !  

Setelah usai solat saya berehat sambil bersandar di salah satu tiang di masjid itu.Di dalam keadaan mata di antara lelap dengan tidak, deria dengar saya diganggu oleh bunyi anak kucing.Memang benar , ada seekor anak kucing yang mungkin dibuang oleh mantan tuannya di masjid itu. Seperti anak-anak kucing jalanan - kurus, berkurap,murung dan kelaparan.

Keadaan sedemikian mengingatkan saya kepada seorang gadis Tionghwa yang menyediakan makanan kucing dan anjing di dalam bonet kereta beliau. Beliau akan memberi makan anjing/kucing terbiar yang ditemui di dalam perjalanannya. Saya juga teringat kepada pelakun filem Hindustan dari keluarga Khan yang nyatakan di atas.  

Sepatutnya, di dalam bonet kereta saya juga ada bekas makanan yang diisi penuh dengan makanan anjing dan kucing. Makanan untuk manusia yang memerlukan , saya boleh beli di kedai makan @ restoran!

Jumaat, 4 November 2011

sidang

PETANG itu, semua ahli JKKK hadir di balai raya Kampung Lubuk Petai. Sidang kali ini akan membincangkan agenda tunggal yang  memerlukan tindakan segera. Mereka akan membincangkan cara yang sesuai untuk mengatasi masalah  gangguan oleh sekumpulan kera di kampung itu.

Kampung Lubuk Petai tidak lagi seaman dahulu. Masalah penagih masih tidak dapat diselesaikan, timbul pula masalah baru, gangguan oleh gerombolan sang kera.Telah banyak tanaman dimusnahkan. Ada juga penduduk kampung dicederakan oleh haiwan itu. 

Bakar Lani, pesara tentera, mencadangkan supaya kera-kera perosak tersebut ditembak sahaja. Bagaimanapun, cadangan itu tidak mendapat sokongan sebulat suara. Cadangan itu memerlukan kepakaran menembak dan kosnya juga tinggi.

Baha Ani, pesara Telekom Malaysia, pula mencadangkan supaya kawasan berpagar tanaman direntang dengan jaring menangkap ikan. Katanya, "Jaring menangkap ikan yang rosak dan tidak digunakan boleh didapati dengan mudah dan murah di perkampungan nelayan di Sungai Baru, Melaka."  Cadangan Baha Ani juga tidak diterima oleh sebilangan besar ahli mesyuarat. Cara itu  tidak akan dapat mengusir gerombolan kera  dari kampung mereka sepenuhnya.

Akhirnya, mesyuarat ditangguhkan tanpa keputusan yang konkrit.

Sebaliknya, satu sidang lain di hulu Kampung Lubuk Petai masih berjalan dengan rancaknya. Sidang itu mengumpulkan semua ketua kabilah  kera di bekas hutan rimba sekitar Kampung Lubuk Petai. Selain itu, kumpulan minoriti kabilah ungka, siamang, cikah dan beruk juga menghantar wakil masing-masing. Agenda yang dibincangkan ialah mengenai tindakan sesuai di atas kerakusan manusia  yang telah memusnahkan kawasan penempatan mereka. 

Kawasan penempatan dan tempat 'cari makan' mereka telah diceroboh oleh manusia untuk ditanam dengan  tanaman kelapa sawit dan pokok getah.

Ketua Kera Lembah Panchor yang amat dihormati dan disegani oleh kalangan masyarakat kera di sekitar Kampung Lubuk Petai telah mencadangkan dua kaedah. Pertama, meneruskan tindakan kacau-ganggu ke atas penduduk Kampung Lubuk Petai dengan cara merosakkan , memakan hasil tanaman dan kalau perlu mencederakan  penduduk Kampung Lubuk Petai.

Tindakan kedua ialah mengemukakan tuntutan ganti rugi atau pampasan kepada penduduk Kampung Lubuk Petai .  Semua ahli mesyuarat sebulat suara menerima cadangan Ketua Kera Lembah Panchor itu.

Mesyuarat yang berlangsung sehingga senja itu memutuskan supaya penduduk Kampung Lubuk Petai membayar ganti rugi atau pampasan dengan menyediakan ladang tanaman pokok pisang dan jagung untuk dimanfaatkan oleh kumpulan kera yang suatu ketika dahulu ialah pemilik asal kawasan itu. Keluasan kawasan tanaman akan ditentukan setelah kajian ke atas kerosakan harta benda dan kehilangan digniti kumpulan kera dijalankan.

Kumpulan kera akan mengemukakan tuntutan pampasan kepada 'penceroboh @ penakluk ' yang angkuh dan mementingkan diri sendiri itu secepat mungkin. 

Tidak syak lagi, manusia, penduduk Kampung Lubuk Petai akan 'terkejut beruk' apabila menerima tuntutan pampasan tersebut di dalam tempoh terdekat!

Sabtu, 22 Oktober 2011

dia lapar

    
Jumaat, 21/10/2011(9.00mlm):
Bertolak dari Ampang ke Shah Alam kerana mengambil anak.Terperangkap di dalam kesesakkan lalulintas kerana beberapa tempat di Shah Alam dinaiki air. Sampai jam 11.00 malam.

21/10/2011 (11.50 mlm):
Melawat cucu saudara,3 tahun,di pusat perubatan di Jalan Tun Abdul Razak - berhampiran Bangunan PNB. Makan 'sahur' (12.00 pm) dengan makanan yang dibawa dari rumah bersama keluarga adik perempuan.


Sabtu,22/10/2011 (1.30 pagi):
Dalam perjalanan balik ke Ampang, anak lelaki kedua mengajak minum 3-layer di restoran mamak. Kononnya, dia penat memandu.


22/10/2011(2.00 pagi):
Ketika hendak masuk ke dalam kereta terdengar bunyi ngiauan anak kucing di bawah kereta sebelah. Anak perempuan bongsu mengintai di bawah kereta tersebut. Memang benar  ada anak kucing di bawah kereta.

Masya Allah, di dalam beg laptopnya, Si Bongsu, ada beberapa bungkus makanan kucing yang dibeli untuk anak kucing kami di rumah, Si Atoi.

Dia membuka satu bungkusan dan meletakkannya berhampiran kereta sebelah. Tidak lama selepas itu, anak kucing malang itu keluar dari bawah kereta dan memakan makanan tersebut dengan lahapnya. Si Malang itu lapar...... 


Ya, sekurang-kurangnya Si Malang tidak akan lapar sehingga esok. Esok? Esok, tiada sesiapa, termasuk kita, yang pasti akan untung nasib masing-masing.

Moral Of The Story:
Minum air 3-layer di waktu dini hari bukan suatu keperluan. Bagaimanapun, ianya bukan satu kesalahan. Cuma, kadang-kadang kita mungkin terlupa bahawa semasa kita seronok melayan karenah sesuatu yang tidak perlu, ada hamba Allah yang amat memerlukan sesuatu yang tiada keperluan kepada kita itu.